BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

keratan akhbar tentang kita

Ibu tak percaya
Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
2010/03/11

KANGAR: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, meninggal dunia dipercayai menelan Panadol secara berlebihan, malam kelmarin.
SEDIH...ibu mangsa nafi anak telan ubat berlebihan. GAMBAR KECIL, Aizadul.
SEDIH...ibu mangsa nafi anak telan ubat berlebihan. GAMBAR KECIL, Aizadul.
Aizadul Shafiqah Md Fuzailee, 16, disahkan meninggal dunia jam 9.30 malam dan doktor mendakwa mangsa menelan antara 20 hingga 24 biji Panadol di rumahnya di Taman Bukit Kayangan, Ahad lalu.


Dia meninggal dunia di Unit Kecemasan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), selepas tiga hari menerima rawatan di wad terbabit. Pelajar berkenaan sebelum itu dibawa bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital selepas mengalami demam panas.


Bagaimanapun, ibu mangsa, Rozila Mohamad Arshad, 41, menafikan anak perempuannya itu menelan panadol sebanyak itu dan kematiannya mungkin disebabkan faktor lain yang tidak diketahui.


Rozila berkata, selepas kematian, doktor mendakwa anaknya menelan 20 hingga 24 biji Panadol hingga menyebabkan organ penting dalamannya tidak berfungsi “Ketika awal demam, saya meminta arwah makan sebiji panadol tetapi dia sukar untuk menelannya apatah lagi jumlah yang banyak seperti didakwa doktor ketika hari ketiga anak saya menerima rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya.


Beliau berkata, pada hari pertama dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, anaknya mengalami pendarahan di hidung dan doktor mengesyaki anaknya menghidap denggi.

"Tetapi pada hari ketiga anak saya disahkan meninggal dunia dan doktor pula mendakwa anak saya menelan banyak panadol," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan dan Kesihatan negeri, Dr Mahani Yusof berkata, hati Azidul Shafiqah didapati sudah rosak kerana lebihan toksin dipercayai akibat terlalu banyak menelan Panadol.


Bagaimanapun, katanya, pihak HTF gagal melakukan bedah siasat terhadap mayat pelajar terbabit selepas bapa mangsa mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalangnya, semalam.


Jenazah pelajar terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Abi Tok Hashim, Bintong, jam 3 petang, di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata mangsa dalam keadaan koma ketika dimasukkan ke ICU HTF sejak tiga hari lalu sebelum disahkan meninggal dunia, jam 9.30 malam.


Sekolah diarah siasat
Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/03/13
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAJANG: “Kementerian kesal perkara ini boleh berlaku berdekatan sekolah dan mereka pula masih beruniform sekolah. Siasatan perlu dibuat segera,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata demikian mengulas insiden seorang eksekutif wanita dibelasah sekumpulan enam pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, di depan anaknya dan puluhan pelajar lain, Rabu lalu.


Akhbar melaporkan Zatul Bazamah Zainal Abidin, 33, dikatakan di serang di luar kawasan sekolah kira-kira jam 1.15 tengah hari, selepas memarahi seorang pelajar terbabit yang mengganggu serta mengejek anak perempuannya.


Dr Mohd Puad berkata, meskipun kes terbabit menjadi kes polis, sekolah masih perlu melakukan siasatan mengenal pasti punca berlakunya pertengkaran mencetuskan pergaduhan di hadapan pelajar.


Katanya, sekiranya hasil siasatan menunjukkan sekolah perlu mengambil tindakan kepada pelajar berkenaan, ia perlu dilaksana mengikut apa yang termaktub dalam peraturan, sekali gus mendidik pelajar menjadi lebih baik.


“Sekolah kena menyiasat juga perkara ini walaupun ia berlaku di luar kawasan sekolah, tapi dalam masa sama perlu memberi ruang dan masa kepada polis melakukan penyiasatan.

“Apapun kita kesal ini terjadi, cuma kita tak tahu punca sebenar menyebabkan tercetus insiden pukul memukul itu.


“Semua pelajar ini perlu dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling dan nasihat atas tindakan ganas yang mereka lakukan,” katanya ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, di sini buat kali ke-33.


Semalam, beliau turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada pelajar paling cemerlang peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Hadir sama, Penasihat PIBG yang juga Pengetua sekolah berkenaan, Ibrahim Yunus dan Yang Dipertua PIBG, Sahlan Saruddin.


Sementara itu, Dr Mohd Puad berkata kementerian bercadang menambah bilangan SMKA sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap negeri bagi menampung permintaan terhadap pendidikan agama kian meningkat.


“Ini cadangan kita untuk menambah jumlah sekolah agama sedia ada menerusi Rancangan Malaysia Ke-10, namun berapa jumlah sekolah yang akan ditambah tak boleh disebutkan kerana tertakluk kepada peruntukan.


“Apapun kita berharap sekurang-kurangnya setiap negeri mempunyai sebuah SMKA untuk menampung permintaan yang semakin meningkat,” katanya.


Terdahulu, Hafeeza Hafni Mohamad, 18, pelajar terbaik keseluruhan SPM 2009 menerima anugerah cemerlang dan RM500 kerana keputusan 12 A+.


Hilang ikut lelaki baru dikenali
Oleh Zarina Abdullah
am@hmetro.com.my
2010/03/08
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: “Kalau Kak Yong sayang mak, pulanglah nak,” rayu Maznah Sulong, 52, ibu kepada Faizatul Akmal Che Yahya, 16, yang menghilangkan diri selepas dipercayai mengikut teman lelaki baru dikenalinya, petang kelmarin.
Ibu kepada enam beradik itu berkata sebelum menghilangkan diri Faizatul yang dipanggil Kak Yong memberitahunya mahu ke rumah teman rapat 500 meter dari rumah mereka di Kampung Tanjong Batu Rakit untuk membuat kerja sekolah pada jam 6 petang.


Selepas mendapati Kak Yong tidak pulang ke rumah pada jam 7.30 malam, suaminya Che Yahya Abu Bakar, 57, seorang peniaga mencarinya di rumah temannya itu, tetapi rakannya memberitahunya anaknya mengikut teman lelakinya berusia 23 tahun yang baru dikenali dipercayai berasal dari Sungai Tong, Setiu menaiki motosikal.


Terkejut dengan berita itu, Maznah berkata suaminya terus mencari anaknya di rumah saudara di sekitar Kuala Terengganu dan Setiu, malangnya pelajar tingkatan empat bersekolah di Sekolah Menengah Kompleks Mengabang Telipot,itu gagal ditemui.


Bimbang dengan keselamatan anaknya dilarikan individu tidak dikenali, Che Yahya kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit jam 2 pagi semalam.


Maznah yang ditemui di rumahnya kelihatan tidak bermaya kerana terlalu sedih dan tidak lalu makan kerana bimbangkan keselamatan anaknya itu.

Menurutnya, anak kelima daripada enam beradik itu hanya memakai baju kemeja berwarna ungu dan berseluar jeans biru tanpa membawa kad pengenalan ketika keluar rumah.


“Saya sedih kerana Kak Yong tidak memiliki duit dan hanya membawa beberapa buku sekolah ketika keluar dari rumah,” katanya sambil mengalirkan air mata. Katanya, dia terkejut apabila diberitahu lelaki terbabit baru berkenalan dengan anaknya, Khamis minggu lalu.


“Saya risau dan takut memikirkan bagaimana kak Yong begitu mudah mengikut orang baru dikenali, sedangkan dia anak yang mendengar kata serta tidak berani keluar rumah tanpa meminta izin.


“Walau siapa pun orang yang membawa pergi anak saya, tolonglah, saya rayu pulangkan dia kembali dengan selamat, saya tidak dapat berbuat apa pun tanpa dia bersama kami,” kata Maznah.


Difahamkan sehingga jam 4.30 petang semalam, remaja terbabit masih belum menghubungi keluarganya

 
http://1.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMmWP8_DI/AAAAAAAAAgw/MUlTtCmq60s/s200/welcome_01.pnghttp://1.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMmWP8_DI/AAAAAAAAAgw/MUlTtCmq60s/s1600-h/welcome_01.png